Header Ads

Wira Pusat Tahfiz Dianugerahkan Pingat Hang Tuah Atas Keberanian Selamatkan 6 Rakan Dalam Kebakaran..


BANGI: Wira cilik, Mohamad Farid Iskandar Mohd Zulkarnain, 12, dianugerahkan Pingat Hang Tuah atas keberaniannya menyelamatkan enam rakan dalam kebakaran asrama Maahad Tahfiz al-Quran Wartabiyatul Islamiah, Baling, Kedah, Ogos lalu.

Anak sulung daripada dua beradik itu menerima trofi, sijil dan wang tunai RM5,000 daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Perasmian Bulan Kebajikan Negara 2017 di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di sini, hari ini.


"Saya tak fikir apa dah masa tu, saya terus masuk saja asrama untuk selamatkan nyawa kawan," katanya. 

Anugerah Pingat Hang Tuah diperkenalkan pada 1960 diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarkan keberanian luar biasa mereka.


Dalam kejadian pada jam 1.50 pagi pada 6 Ogos lalu, Mohamad Farid Iskandar terjaga daripada tidur dan melihat kepulan asap dari bilik asrama tingkat tiga Maahad Tahfiz al-Quran Wartabiyatul Islamiah.

Menyedari kebakaran itu, dia pantas bangun mengejutkan enam rakan yang sedang lena dan segera menuruni tangga untuk keluar dari situ.


Tanpa berfikir panjang, dia kemudian mencapai baldi dan paip air, diikuti rakannya untuk memadam kebakaran, namun gagal kerana api marak.

Dalam keadaan getir itu, Mohamad Farid Iskandar dan rakan bergegas turun menyelamatkan diri, tetapi seorang rakannya dikenali Hazwan jatuh tersungkur dan dia berpatah balik untuk memapah rakan ke tempat selamat.

Mohamad Farid Iskandar berkata, pengalaman ditempuhinya itu masih segar dalam ingatannya dan diharapkan dapat menjadi contoh kepada kanak-kanak lain untuk mengambil tindakan sama dengan segera menyelamatkan diri serta rakan apabila berlaku kecemasan seperti kebakaran.


"Saya sendiri tidak tahu macam mana boleh timbul rasa berani, saya rasa boleh saja sebab fikir untuk selamatkan rakan dengan mengikut tangga belakang.

"Saya rasa seronok dengan anugerah ini dan kawan lain juga tahu serta berkongsi perasaan sama," katanya yang ditemani ibunya Murni Hayati Abdul Ghani, 31.-PENMERAHPRESS



sumber: BH

No comments

Powered by Blogger.