Header Ads

“Tolong Jangan Ambil Kucing Saya. Saya Sangat Sayangkan Mereka.”Lelaki Ini Enggan Serahkan 50 Ekor Kucingnya Yang Dijangkiti Kuman Sporo Untuk Diselamatkan..


“Tolong jangan ambil kucing saya. Saya sangat sayangkan mereka kerana dipelihara sejak ibu saya masih hidup lagi," kata pemilik kucing yang enggan menyerahkan haiwan peliharaannya untuk diselamatkan.

Kira-kira 50 kucing dalam keadaan nazak diselamatkan Persatuan Sahabat Kucing Jalanan daripada pemilik asalnya di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul, Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.


Kucing malang yang diselamatkan kira-kira 12 tengah hari itu kebanyakannya dijangkiti sejenis fungas dikenali Sporo atau jangkitan Sporotrichosis yang selalunya dikaitkan sebagai penyakit yang boleh membawa maut bagi haiwan peliharaan khususnya kucing.


Tindakan itu dilakukan sejurus persatuan berkenaan mendapat maklumat mengenai pemiliknya yang gagal menjaga kucing dengan baik dalam keadaan persekitaran rumah yang sempit dan dipenuhi barang terpakai dan kabel elektrik.

Pihak kelab berkenaan terpaksa meminta bantuan polis dari Balai Polis Sentul untuk mengiringi mereka ke rumah lelaki berusia 40-an berkenaan kerana sebelum ini kumpulan itu tidak dibenarkan mengambil kucing terbabit.

Ketika tiba di hadapan rumah lelaki itu, pasukan polis dan pihak kelab terpaksa memujuk lelaki itu kira-kira 10 minit kerana dia berdegil tidak mahu melepaskan kucing terbabit dengan alasan sayangkan haiwan peliharaan itu.


Wartawan yang mengikut misi menyelamat itu terkejut sebaik masuk ke rumah berkenaan kerana dipenuhi dengan pelbagai barang terpakai seperti kabel elektrik, piring antena televisyen, telefon bimbit dan banyak lagi barang sehingga tiada ruang untuk berjalan.

Sebaik memasuki ruang dapur, kelihatan lebih 10 sangkar kucing yang menempatkan kira-kira 50 kucing dengan bau yang kurang menyenangkan.

Pengerusi Persatuan Sahabat Kucing Jalanan Mohd Rosli Mohd Ariffin berkata, lelaki berkenaan sebelum ini pernah meminta sumbangan melalui laman Facebook (FB) untuk membeli makanan kucing.


"Dia sendiri tidak bekerja dan difahamkan mengutip pelbagai barang terpakai, jadi dia meminta sumbangan daripada orang ramai melalui FB. Saya difahamkan dia berjaya mengutip RM2,000 sebelum ini untuk membeli makanan kucing.

"Kami sebelum ini cuba membantu merawat kucing yang sakit di rumahnya, namun dia berdegil tidak mahu menerima bantuan. Malah terdapat di antara kucing itu dijangkiti fungas berbahaya Sporo," katanya.

Keadaan rumah flat pemilik kucing

Menurutnya, kucing yang diselamatkan itu akan dibawa ke klinik haiwan untuk dirawat sebelum dijaga di tempat yang sepatutnya.

"Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menyelamatkan nyawa kucing, walaupun mereka binatang, tapi kucing tetap makhluk tuhan," katanya.-PENMERAHPRESS


Sumber: Harian Metro

No comments

Powered by Blogger.