Header Ads

"Saya Mohon Maaf.” Syed Saddiq, Ketua PPBM Tolak Tawaran Biasiswa RM400,000 Untuk Pengajian Di Universiti Oxford..

Umpan RM5 juta: Skripnya sudah siap, tinggal baca saja

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memutuskan untuk menangguhkan pengajiannya dalam peringkat Ijazah Sarjana bagi bidang Dasar Awam di Universiti Oxford di Britain.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mendakwa beliau ditawarkan biasiswa kira-kira RM400,000, tetapi dengan penangguhan itu bermakna beliau tidak lagi layak mendapat sebarang biasiswa daripada Oxford pada masa akan datang.


Syed Saddiq berkata, keputusan tersebut bukannya mudah untuk dilakukan.

"Saya mohon maaf kepada keluarga dan rakan-rakan rapat... saya harap mereka faham keputusan saya," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Isnin.


"Saya tahu jika saya pergi ke Oxford tahun ini, hati saya tidak akan berada di sana. Nak fokus belajar pun tak boleh. Hati saya sentiasa di Malaysia," katanya dengan sebak, sambil menambah melanjutkan pengajian di universiti berprestij di Britain itu merupakan impiannya sejak dulu.


Ini bukan kali pertama

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, Syed Saddiq berkata ini bukan kali pertama beliau ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Oxford.

Tahun lalu, selepas Oxford menawarkan biasiswa bernilai hampir £70,000 untuk menyambung pengajian dalam bidang dasar awam, Syed Saddiq berkata seorang ahli politik menawarkan kepadanya lebih banyak lagi wang untuk beliau gunakan bagi tujuan pengajiannya.

"Kali pertama mereka datang pada saya ketika Jun 2016, mereka menawarkan saya RM500,000 untuk menyambung pengajian.

"Kemudian kali kedua mereka datang jumpa saya di antara November dan Disember 2016," katanya.


"Ketika itulah mereka cadangkan saya diberikan RM5 juta dalam bentuk geran untuk sekolah debat yang saya hendak tubuhkan.

"Mereka tahu duit tidak boleh ubah pendirian saya. Kali kedua mereka membuat tawaran dengan sejumlah RM5 juta termasuk geran untuk saya membuka sekolah debat."

Syed Saddiq berkata beliau mendapat umpan akhir pada Rabu minggu lalu kerana mereka tahu beliau terpaksa membuat keputusan segera memandangkan sesi pengajian di Universiti Oxford akan bermula minggu depan.

Duit umpan RM5 juta itu sepatutnya dibayar berperingkat: RM500,000 selepas habis sidang media semalam dan baki RM4.5 juta dalam bentuk geran untuk membuka sekolah debat.

Katanya, ketika belajar undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beliau pernah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk membuka sekolah debat tidak hanya di Johor tetapi di seluruh Malaysia.

"Ini yang paling mengejutkan kerana mereka tahu saya pernah hantar kertas cadangan untuk buka sekolah debat.

"Mereka kata saya boleh buka dulu sekolah dan bagi pada kawan untuk jaga dan kemudian selepas habis belajar saya boleh ambil kembali sekolah itu," katanya.

Umpan itu bagaimanapun tidak memerlukan beliau untuk keluar daripada Bersatu dan menyertai parti lain, katanya.

Syed Saddiq berkata beliau tidak menerima tawaran itu serta-merta tetapi merujuknya kepada kawan-kawan dan ahli keluarga untuk nasihat.


"Hampir semua minta saya terima saja tawaran itu dan pergi. Tetapi saya tidak buat keputusan lagi.”

Katanya, beliau hanya membuat keputusan menolak tawaran tersebut selepas menghantar jemputan sidang media pada petang Ahad.

"Tetapi saya tidak beritahu sesiapa keputusan saya. Ibu bapa saya tidak tahu, kawan-kawan pun tidak tahu. Malah pemimpin Bersatu juga tidak tahu.

"Saya juga disuruh tidak melayan sebarang panggilan telefon atau berjumpa dengan sesiapa. Mereka mahu saya tinggal di Hotel Seri Pan Pacific tapi saya tolak dan kata nak tinggal di rumah saja."

VIDEO:



Sumber: mStar Online, The Malaysian Insight

No comments

Powered by Blogger.