Header Ads

Sambutan Menggalakkan, MARA Digital Menggorak Langkah Dengan Buka Cawangan ke 4 di Kuantan



Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperluaskan rangkaian pusat teknologi maklumat komunikasi (ICT), Mara Digital dengan membuka premis keempat di Plaza Gambut Kuantan, Pahang, selepas di Kuala Lumpur, Shah Alam di Selangor dan Ipoh di Perak itu dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Pembukaan MARA Digital di Plaza Gambut ini, membuka peluang kepada pengusaha Bumiputera meluaskan perniagaan produk berasaskan telekomunikasi, digital dan teknologi maklumat (IT). Inisiatif Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu bukan sahaja membuka jalan kepada pengusaha, malah memudahkan orang ramai khususnya mendapatkan barangan seperti telefon pintar dan aksesorinya dengan harga berpatutan.

Premis menempatkan 18 peniaga itu disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Penubuhan pusat jualan berkenaan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat di daerah ini terutama golongan muda. Lokasinya yang strategik diyakini dapat membantu peniaga meningkatkan jualan di samping promosi serta strategi pemasaran betul.
Selain itu, pelanggan juga dapat membuat perbandingan harga dan juga tidak perlu bimbang dengan risiko membeli produk palsu kerana dasar kementerian mewajibkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam jawatankuasa Mara Digital memastikan ketulenan produk.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya kini berunding untuk pembukaan di dua lagi lokasi iaitu di Melaka dan Johor serta menyasarkan satu negeri satu MARA Digital pada masa akan datang. Katanya, ia bertujuan bagi memberi peluang kepada usahawan Bumiputera dalam bidang itu di seluruh negara selepas melihat usahawan ICT dalam kalangan Bumiputera jauh ketinggalan.
Menurutnya, berdasarkan statistik, jumlah pengguna telefon bimbit serta gajet di negara ini 11 juta dan 62 peratus daripada jumlah itu pengguna Melayu.
“Walaupun MARA Digital baru dibuka setahun lebih, jualannya melebihi RM18 juta manakala setakat Ogos 2017 seramai 585,580 pengunjung dicatatkan menunjukkan keperluan mewujudkan lebih banyak MARA DIGITAL.
Menurut beliau, pembukaan MARA DIGITAL ini juga menjadi mercu tanda kejayaan agensi terbabit dalam membangun dan memartabatkan usahawan bumiputera. Usahawan bumiputera juga katanya, perlu melihat peluang dalam peniagaan alaf baharu ini kerana ia mempunyai potensi besar selari dengan arus pembangunan teknologi digital.


No comments

Powered by Blogger.