Header Ads

“Nak Buat Produk ‘Budu Hipster”- Mat Dan Rancang Jadi Usahawan Dan Pelakon..


KUALA LUMPUR – Pengacara televisyen Mat Dan atau nama Islamnya Kareef Daniel Abdullah kini berjinak-jinak dunia lakonan bermula dengan satu filem pendek yang tengah dalam penggambaran.

Anak kelahiran Bristol, England yang diberi nama Daniel Tyler sebelum memeluk agama Islam itu berkata penggambaran filem tersebut baru bermula minggu lepas.


“Saya baru terlibat dalam lakonan sebuah filem pendek sebab saya hendak ceburkan diri dalam bidang lakonan pula,” kata Mat Dan, 27, kepada Bernama, di sini.

Anak muda itu mula terkenal di negara ini selepas video kefasihan beliau bercakap dalam bahasa Melayu loghat Terengganu tular menerusi media sosial.



Beliau yang tinggal di Malaysia sejak lapan tahun lalu ketika berusia 19 tahun dan bertemu jodoh dengan gadis Terengganu tahun ini, turut aktif sebagai hos program stesen televisyen berbayar Astro.


Ini termasuk sebagai pengacara program “Mat Dan Kaki Jalan” yang membawa penonton menggembara ke 13 destinasi menarik di negara ini dan travelog “Haramain Backpackers” bersama PU Amin.

Mat Dan turut terlibat dalam perniagaan produk gel rambut atau pomade dengan jenama ‘J.Tac by Mat Dan’.

“Jenama pomade ini bersempena ayat ‘semat jetak’ dalam loghat Terengganu yang bermaksud ‘sangat segak,” katanya.


Mat Dan turut berkongsi impiannya untuk menjadi usahawan ‘budu hipster’.

“Dulu masa mula-mula jadi selebriti saya memang terfikir untuk buat produk berasaskan budu tapi hanya sekarang baru kita nak mula buat budu hispter,” katanya tanpa menjelaskan maksud budu hipster.-PENMERAHPRESS

No comments

Powered by Blogger.