Header Ads

Mayat Bayi Lelaki Yang Masih Bertali Pusat Ditemui Di Dalam Kotak Yang Ditinggalkan Di Bawah Jambatan..



SANDAKAN, SABAH - Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di dalam kotak yang ditinggalkan di bawah Jambatan 4, Kampung Air, hari ini, lapor Harian Metro. 

Mayat bayi lelaki yang cukup sifat itu ditemui oleh orang awam pada jam 8.45 pagi tadi sebelum memaklumkan penemuan itu kepada polis. 

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, selepas menerima maklumat daripada orang awam, sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan. 


"Mayat bayi berkenaan ditemui tanpa dibalut dengan sebarang kain dan ditinggalkan dalam kotak. Bayi itu masih memiliki tali pusat. Namun tiada uri ditemui bersama bayi berkenaan. 

"Mayat bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk siasatan lanjut," katanya. 



Berdasarkan siasatan awal dan laporan bedah siasat, bayi lelaki itu mungkin telah meninggal dunia ketika proses kelahiran. Malah bayi itu dilahirkan tidak cukup bulan ketika kandungan ibunya sudah berusia enam bulan, bagaimanapun bayi seberat 318 gram dan panjang 34 sentimeter itu mempunyai cukup sifat. 

"Tiada sebarang tanda pereputan atau kecacatan ditemui pada badan bayi itu. Namun terdapat kesan lebam pada belakang badan, punggung dan kaki bayi itu disyaki disebabkan proses kelahiran. Tiada sebarang kecederaan dalaman ditemui pada tubuhnya," katanya. 


Sehubungan itu, Mohd Azhar meminta kerjasama dari orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil bagi membantu siasatan. 

"Kita juga memohon kerjasama klinik swasta dan bidan kampung di daerah ini yang tahu jika ada ibu melahirkan bayi dalam masa terdekat ini. Siasatan terperinci masih dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang bayi," katanya.-PENMERAHPRESS



Sumber: Harian Metro

No comments

Powered by Blogger.