Header Ads

‘Mak Ayah Pengsan Lihat Kubur Anak Digali Semula, Anak Berkain Kapan Dimasukkan Dalam Beg Mayat’



Polis membuka kertas siasatan kes seorang kanak-kanak lima tahun maut akibat dada tertusuk serpihan batu pengasah mesin rumput yang diasah bapanya di Kubang Rotan, di sini, Jumaat lalu, atas kesalahan cuai hingga menyebabkan kematian.

Keluarga Nur Aliya Syifa, 5, yang maut akibat terkena serpihan bilah mata pisau mesin rumput, Jumaat lalu, menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

Bapa saudara mangsa, Fadhil Abdul Rahim, 50, berkata keluarganya redha dengan ketentuan Ilahi kerana Nur Aliya mati sebab kemalangan yang tidak disengajakan.

Katanya, dirinya terpaksa tampil mewakili keluarga selepas adik ipar yang juga bapa mangsa, Murad Othman@aziz, 40, dan isteri, Sabda Abdul Rahim, 41, terlalu lemah selepas pengsan berulang kali.
"Kami akur dengan undang-undang dan akan hanya mengikut apa yang sudah ditetapkan berdasarkan Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian.
"Buat masa ini, kami serahkan kepada hospital dan polis untuk melakukan siasatan lanjut. Jika ada benda yang meragukan, barulah kami sekeluarga akan duduk berbincang mencari penyelesaian," katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Masjid Nurul Ehsan, Kubang Rotan, di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan pakar forensik Hospital Sultanah Bahiyah, mengambil masa hampir dua jam untuk menggali semula kubur Nur Aliya Syifa bagi proses bedah siasat.
Proses penggalian disaksikan sendiri ibu bapa mangsa yang kemudian pengsan selepas jenazah anak mereka berkain kapan dibawa keluar sebelum dimasukkan dalam beg mayat.

Fadhil berkata, pihaknya kini risau masa depan dua anak Murad termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) mental sekiranya bapa mereka dipenjarakan.
"Murad yang baru selesai menjalani pembedahan buang apendik yang pecah sahaja yang bekerja menyara keluarganya dan isterinya terpaksa menjaga anak.

"Sekiranya Murad dipenjarakan, sudah pastinya keluarga terbabit mengalami masalah dan kami sekeluarga datang dari keluarga yang susah sukar untuk membantu," katanya.
BH semalam melaporkan, polis membuka kertas siasatan kes seorang kanak-kanak lima tahun maut akibat dada tertusuk serpihan bilah mesin rumput yang diasah bapanya di rumah Kubang Rotan, di sini, Jumaat lalu, atas kesalahan cuai hingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid, berkata proses terbabit adalah prosedur biasa dan sebahagian daripada siasatan yang dibuat.
"Orang ramai jangan membuat sebarang andaian dan spekulasi kerana siasatan masih berjalan dan kita akan serahkan dokumen lengkap kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.



Sumber: Bharian

No comments

Powered by Blogger.