Header Ads

"Kata Expo Kerjaya Terbesar, Tapi Borang Permohonan Kerja Kena Bayar RM10 Setiap Satu."- Graduan Luah Rasa Kecewa Dan Teraniya Oleh Pihak Penganjur..


Logiknya expo kerjaya akan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan. Namun, lain pula ceritanya apabila seorang gadis mendedahkan pengalamannya umpama indah khabar dari rupa ketika bersama ribuan pengunjung ke Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Awin mendakwa kunjungannya ke expo kerjaya yang menawarkan lebih 5,000 jawatan dari syarikat terkemuka negara itu sebenarnya sesuatu yang sia-sia dan tidak seperti yang diharapkan.


Malah, dia mendakwa berasa teraniayai dengan sikap penganjur expo tersebut yang meminta orang ramai yang hadir terutama graduan untuk membeli borang permohonan kerja pada harga RM10 setiap satu.

Dakwa Awin, setiap seorang perlu membeli sekurang-kurangnya lima borang supaya peluang mereka untuk mendapat pekerjaan lebih cerah.

"Saya bukan sengaja mahu mensensasikan perkara ini tetapi saya terpanggil untuk menjelaskan situasi sebenar yang perlu dilalui orang ramai semasa hendak menghadiri expo tersebut. Bukan sahaja kecewa tetapi saya rasa dianiayai.

"Saya pernah pergi banyak ekspo karier sebelum ini tapi inilah kali pertama saya berdepan situasi di mana graduan perlu membeli borang untuk memohon pekerjaan. Macam ekpo karier di KL, lebih besar berbanding di sini tapi saya tidak perlu keluarkan satu sen pun untuk beli borang.


"Dari situ, saya menyedari seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan expo tersebut. Kasihan dekat mereka yang datang dari jauh sambil ditemani orang tua dan adik-adik kecil yang terpaksa berdiri lama dalam keadaan panas terik," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Antara graduan yang hadir pada expo tersebut.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kedah itu mendakwa mereka perlu melalui empat sesi yang dikendalikan pihak penganjur ekpo tersebut.

"Bayangkan untuk sesi pertama, saya perlu beratur selama dua jam untuk masuk ke sesi kedua iaitu taklimat mengenai expo karier itu daripada penganjur. Dalam keadaan saya baharu baik dari demam saya gigihkan diri dengan harapan mahu mendapatkan pekerjaan.

"Namun saya sudah tidak dapat menahan marah apabila dimaklumkan staf bertugas apabila borang yang dibeli akan dihantar secara pos ke alamat yang diberikan. Kenapa pula sampai macam tu? Saya tertanya-tanya apa tujuan ekpo itu diadakan sebenarnya," soalnya.

Awin mendakwa pihak penganjur juga tidak memaklumkan mengenai pembelian borang di dalam iklan yang dimuat naik dalam laman Facebook mereka.

"Sepatutnya kena beritahu awal-awal. Bayangkan kalau yang datang tu tak ada duit tak ke sia-sia sahaja mereka beratur lama. Graduan yang datang pun bukan dari Kedah sahaja, ada yang datang dari jauh.


"Lebih menyakitkan hati apabila staf bertugas memaklumkan mereka akan menjadi wakil untuk menghantar borang permohonan graduan kepada syarikat yang dinamakan dalam expo tersebut. Kat situ pun ada sesuatu yang mencurigakan, kenapa perlu jadi wakil. Sepatutnya syarikat tersebut hadir sendiri untuk menerima borang permohonan kami," dakwanya.

Awin yang kini menjadi pemandu GrabCar selepas menganggur selama 11 bulan mendakwa syarikat yang diuar-uarkan dalam iklan juga tidak kelihatan dalam expo tersebut.

Iklan ekspo kerjaya yang diuar-uarkan.

"Saya difahamkan oleh pengunjung yang sudah melepasi empat sesi yang ditetapkan penganjur, sebenarnya tiada syarikat besar yang hadir. Yang ada hanyalah gerai jualan kosmetik, makanan dan minuman.

"Kami datang untuk cari kerja bukan mahu beli produk jualan. Expo kali ini memang amat mencurigakan. Ia akan jadi pengalaman pahit yang akan saya ingat sampai bila-bila," katanya.

Sementara itu, netizen yang turut hadir pada expo yang berlangsung selama dua hari itu turut bertindak mengecam penganjur yang disifatkan tidak telus dalam menyampaikan maklumat.

@Art Sabril berkata:"Semua yang datang diminta ikut step by step. Step yang terakhir semua calon mengharapkan ada live interview tapi bila masuk dalam tu apa pun tak ada. Yang ada orang jual air dan burger, diuar-uarkan syarikat besar semua tak datang.


"Cerita macam bulan dan bintang ada sebelah boleh capai bila-bila masa tapi bila tanya mana syarikat dalam iklan. Jawapan... tak pe kita orang hantar ke syarikat terus by post. Baik ko suruh duduk rumah hantar emel je tak payah orang dari Perak, Pulau Pinang datang semata-mata hantar resume.

"Job sampah terbesar di utara. Ada datang dengan mak ayah semata-mata nak dapat result 24 jam tapi burger daging yang dapat kat dalam tu dengan air sirap," katanya.

Dalam pada itu, Awin turut meminta penganjur expo tersebut supaya tampil memohon maaf kepada orang ramai yang dijanjikan dengan iklan yang nampah gah.

"Jika penganjur merasakan diri mereka tak bersalah, mereka perlu buat permohonan maaf. Perjelaskan situasi sebenar dan jangan ulangi perkara sama di kemudian hari.

"Kasihan dekat kami yang datang dengan niat untuk dapatkan pekerjaan tetapi akhirnya dikecewakan pihak penganjur yang dilihat cuba memperdayakan orang ramai dengan iklan yang dijanjikan," katanya.


Posting Awin yang tular.

Posting Awin yang menggunakan nama Facebook MissRene NJ mengecam penganjuran expo karier itu menjadi tular sehingga mendapat 1,198 perkongsian di laman media sosial tersebut.-PENMERAHPRESS

No comments

Powered by Blogger.