Header Ads

"Dia Tak Nak Mati Kat Sini”. Mangsa Sindiket Pengedaran Antarabangsa Yang Dijadikan ‘Keldai Dadah’ Meninggal Dunia Di Peru Dan Lebih RM25,000 Kos Untuk Kebumi Jenazah..


KUALA LUMPUR: Kira-kira USD$6,000 diperlukan, jika rakyat Malaysia, Shyzlin Hathaman, yang meninggal dunia dalam rawatan hospital di Lima, Peru, mahu dikebumikan di negara itu.

Shyzlin, 43, mangsa sindiket pengedaran antarabangsa yang dijadikan keldai dadah, meninggal dunia pagi tadi waktu Malaysia kerana komplikasi beberapa penyakit selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Dia yang dipenjara dan terkandas di negara itu sejak lapan tahun lalu, berasal dari Johor, menghidap beberapa penyakit termasuk asma dan kencing manis.


Seorang rakyat Malaysia di Lima, Nor Suzanna Azmi, 34, berkata beliau dimaklumkan USD$6,000 (kira-kira RM25,400) diperlukan berdasarkan pengurusan jenazah pekerja kapal warga Malaysia yang meninggal dunia di negara terbabit sebelum ini.

Beliau berkata, proses pengurusan jenazah sehingga pengebumian itu mengambil masa dua minggu.

MESEJ WhatsApp antara penulis BH dengan Suzanna

Nor Suzanna yang juga seorang lagi mangsa sindiket pengedaran dadah yang terkandas sejak 11 tahun lalu di Peru dan mengenali Shyzlin, berkata, pegawai Kedutaan Malaysia memaklumkan yang mereka masih menunggu keputusan keluarga Shyzlin di Johor.

Mengenai Allahyarham, Nor Suzanna berkata, Shyzlin yang dikenali di negara itu pernah memaklumkan mahu pulang ke Malaysia dan tidak mahu meninggal dunia di Peru.


"Saya teringat kata-kata dia....sampai dia dah pergi tinggalkan semua termasuk keluarga. Saya tau dia sedih dengan kematian mami (ibu) dia. Dulu dia selalu cakap rindu sangat dengan mami dia.

"Dia tak nak mati kat sini...setahun lebih kami semua tunggu nak balik sampai dia pun dah meninggal," kata Nor Suzanna.


Kematiannya dimaklumkan Kedutaan Malaysia di Peru kepada Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong hari ini.

Katanya, kedutaan memaklumkan bahawa Shyzlin kembali ke rahmatullah pada jam 6.50 petang waktu Peru pada 7 Oktober 2017, iaitu jam 7.50 pagi tadi waktu Malaysia.

"Pihak kedutaan sedang melihat beberapa pendekatan untuk uruskan jenazahnya" katanya.

Biro berkenaan sedang dalam proses menguruskan pelbagai keperluan untuk membantu membawa Shyzlin dan Nor Suzanna serta seorang lagi wanita bernama Azimah kembali ke tanah air.

Pada November tahun lalu, BH menyiarkan laporan eksklusif dari Peru, mengenai rayuan Syzlin, Nor Suzanna dan Azimah yang meminta ihsan orang ramai membantu membawa mereka pulang.

Shyzlin merengkuk dalam penjara lebih empat tahun kerana menyeludup dadah. Dia kemudian ditempatkan di sebuah gereja negara itu selepas kesihatannya terjejas.


Dalam temu bual dengan BH sebelum ini, Shyzlin sambil menitiskan air mata memohon individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa saja menghulurkan bantuan supaya dia dapat menemui semula keluarga yang lama terpisah.

Nor Suzanna juga terkandas di sana selepas dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan sama, manakala Azimah yang digunakan sindiket pengedaran dadah ditahan kerana tidak mempunyai permit di negara itu.

Kedua-dua mereka yang sudah berkahwin dengan warga tempatan dan mempunyai anak juga merayu bantuan untuk pulang.

VIDEO:



Sumber: Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.