Header Ads

Remaja Berusia 19 Tahun Ditahan Polis Selepas Membuang Bayi Yang Baru Dilahirkan Di Rumah Jirannya Semalam..


BATU PAHAT: Seorang remaja berusia 19 tahun dari Semerah, dekat sini, ditahan polis tengah hari ini selepas membuang bayi yang baru dilahirkan di rumah jirannya tengah malam semalam lapor BH.

Terdahulu, pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, remaja berkenaan pergi ke rumah jirannya di seberang jalan rumah keluarganya lalu melahirkan bayi di beranda rumah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata ketika kejadian jiran wanita itu yang juga pasangan suami isteri warga tua, tiada di rumah mereka kerana bermalam di rumah anak mereka di Parit Sulong, dekat sini.

Katanya, apabila pulang kira-kira jam 7 pagi tadi, pasangan suami isteri warga tua itu menjumpai seorang bayi perempuan di tepi beranda rumah dan tumpahan darah di lantai.

"Pasangan itu kemudian memaklumkan polis sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.


"Siasatan di sekitar lokasi kejadian membawa kepada penemuan uri dan tali pusat yang dibuang di tepi rumah suspek dan suspek kemudian mengaku melahirkan serta membuang bayinya di rumah jirannya itu.

"Suspek mengaku pergi ke rumah jirannya kerana sakit perut sebelum melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.1 kilogram dan meninggalkan bayinya di situ. Suspek juga mengaku membuang uri dan tali pusat di tepi rumahnya.


"Bayi berkenaan hasil hubungan sulit bersama teman lelakinya. Suspek dan bayinya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk rawatan dan disahkan berada dalam keadaan sihat," katanya.

Abdul Wahib berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat untuk membuang bayi berkenaan.

"Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.-Penmerahpress

No comments

Powered by Blogger.