Header Ads

Pengasas Bank Pertama Untuk Orang Melayu Diculik, Dibunuh Dengan Kejam Kemudian Mayatnya Di Gantung Pada Pokok Di Dalam Hutan..


Maarof Zakaria, pengasas bank pertama untuk orang Melayu iaitu Malay National Bank. Namanya diabadikan pada sebatang jalan di Bangsar, Kuala Lumpur iaitu Jalan Maarof.


Beliau adalah bapa pada pelakon veteran terkenal, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof.

Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 – 23 Oktober 1973).

Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 – 7 November 1991).


Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara.

Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik.Pengasas Malay National Bank, Maarof Zakaria.


Pemikiran dan tindakan Maarof yang begitu futuristik itu telah mencemaskan The Chartered Bank milik penjajah Inggeris dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC). Pihak tertentu (masih belum dikenal pasti menerusi proses siasatan) telah merancang untuk menculik dan seterusnya membunuh Maarof supaya kemaraan ekonomi orang Melayu dapat disekat serta-merta. 

Akhirnya, pada 4 Disember 1947, rancangan jahat tersebut berjalan dengan licik, lalu tiga hari selepas itu Maarof ditemui tidak bernyawa tergantung pada sebatang pokok di dalam hutan, Batu 13, Jalan Kuala Lumpur – Bentong. 


Maarof dipercayai sedang menuju ke rumah ibunya di Seremban dengan memandu kereta bersendirian dari rumah beliau di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau menemui ajal dalam usia yang masih muda, iaitu 43 tahun. Sehingga kini, dalang kes bunuh Maarof, motif dan sosok pembunuh upahan tidak pernah dapat dirungkaikan.

Ketika Berita Harian merancang untuk menulis laporan susulan menjelang genap 67 tahun kematian bapanya, pelakon veteran itu tenat dan beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Al-Fatihah.


Selepas menyiapkan laporan bersiri sebanyak tujuh episod, wartawan Berita Harian berkenaan berasakan masih ‘berhutang’ dengan Allahyarham Mustapha kerana gagal membantu menunaikan hasratnya untuk melihat kes pembunuhan bapanya dirungkaikan.

Allahyarham mahu kematian bapanya dibela dan pihak yang bertanggungjawab diadili sekali gus membersihkan nama tokoh Melayu itu kerana ada tuduhan liar mengatakan beliau membunuh diri.


Beberapa fail dan rekod lama berjaya dikumpul, termasuk daripada Arkib Negara dan mereka sempat mengunjungi sanak saudara Maarof di kampung kelahirannya di Seri Menanti, Negeri Sembilan, untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Mustapha pernah meluahkan rasa hatinya mahu melantik peguam berwibawa untuk menyemak dan mengkaji semula kes itu tetapi menghadapi kekangan kewangan dan kes itu dilihat agak rumit kerana berlaku sebelum zaman merdeka.

Bahkan, cubaan untuk mendapatkan rekod lama di balai polis Bentong juga gagal kerana dimaklumkan, fail lama yang disimpan di dalam stor musnah selepas dua kali terbakar.


Mustapha cukup yakin bapanya menjadi mangsa komplot pihak tertentu yang tidak mahu melihat tokoh Melayu bangkit terutama dalam bidang ekonomi kerana penubuhan Malay National Bank itu dilihat bakal menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik China iaitu Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC).

Keluarganya percaya pihak yang cemburu dengan langkah berani Maarof mengambil tindakan drastik dengan menculik dan membunuh Maarof.

SEWAKTU hidupnya, arwah pelakon veteran itu juga pernah meluahkan isinya pada seorang wartawan Mstar.

” Saya ni hilang kasih sayang. Kasih sayang isteri dan kasih sayang seorang ayah,” ujarnya.

Penulis bertanya, semasa kejadian, adakah apa-apa perasaan yang beliau rasakan?

Dengan pantas Mustapha berkata, dia tidak begitu merasai apa-apa kehilangan kerana usia yang masih kecil ketika itu.


Namun ketika sedang membesar, baharulah Mustapha merasai beliau sebenarnya kehilangan seorang ayah yang hebat iaitu pengasas sebuah bank.

“Tahu atau tidak, apabila saya sudah besar, baru saya tahu nama Jalan Maarof (di Bangsar) itu diberikan sempena nama ayah saya… sebelum itu saya langsung tidak tahu mengenainya,” kata Allahyarham.


Menurut beliau, selepas diceritakan semula mengenai kematian arwah ayahnya itu, Mustapha mengakui beliau benar-benar sedih apatah lagi pembunuhan itu berlaku.

Tragisnya…

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kematian pengasas Malay National Bank, Maarof Zakaria, sebagai tragik dan sangat menyedihkan kerana ia berlaku ketika peguam itu berusaha membantu orang Melayu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi penubuhan bank. 


Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, “Jasa Maarof sangat besar dan beliau orang Melayu yang berani menubuhkan bank untuk membantu kaumnya, ketika itu. Ketika itu, orang Melayu jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan hidup dalam kemiskinan. Bank yang ada ketika itu tidak mahu memberi bantuan atau pinjaman modal kepada orang Melayu. Justeru, ada suara yang meminta dan mendesak supaya sesuatu dilakukan untuk membantu orang Melayu”.



TIDAK DAPAT DIRUNGKAI ATAU SENGAJA TIDAK MAHU DIRUNGKAI? 
Wallaha'allam.

Kredit: Syahril Kadir , BH Online, mStar

No comments

Powered by Blogger.