Header Ads

“Arwah Kuat Merajuk, Dia Peluk Saya Berulang Kali, Dan Sempat Minta Pulut Kuning, Rendang.”-Ibu Fahmie..



SEREMBAN: "Arwah rasa tidak sedap hati dan meluahkan yang dia ingin pulang ke rumah sejak dua minggu yang lalu," kata Norazlina Bakry, 36, ibu kepada mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Muhammad Fahmie Abdullah.

Norazlina berkata kali terakhir dia berjumpa anaknya adalah pada dua minggu lepas.

Katanya ketika dia ingin menghantar anaknya ke madrasah itu, Muhammad Fahmie, 11, menangis dan merajuk tidak mahu belajar di madrasah berkenaan.


"Tanda-tanda awal ketika arwah hendak pergi ialah dia kuat merajuk dan mukanya nampak sedih sangat-sangat. Ketika menghantarnya, dia memeluk saya berulang kali, membuatkan saya hairan.

"Hari berikutnya anak saya juga ada menelefon dan meminta saya hantar rendang dan pulut kuning kerana dia teringin hendak makan, selain saya dia menelefon adik saya minta ingin balik," katanya selepas pengkebumian jenazah Muhammad Fahmie di sini, Jumaat.

Norazlina berkata Muhammad Fahmie mula merajuk dan tidak mahu belajar di sana sejak kematian datuknya pada 21 Ogos lepas.

"Arwah dengan atuk serta neneknya yang dipanggil sebagai mak itu, memang rapat," katanya.

Muhammad Fahmie selamat dikebumikan di Makam Haji Said di sini, kira-kira 9 malam Jumaat dan talkin kemudian dibacakan oleh Imam Masjid Kariah Paroi Jaya, Raza Mohd Zain.


Allahyarham Muhammad Fahmie adalah antara 23 yang terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz di Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu pagi Khamis.

Sebelum itu, kesemua jenazah dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara HKL kira-kira 6 petang dan dibawa ke Surau Kuarters HKL untuk dimandikan menggunakan teknik tayammum, dikafankan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang ditetapkan oleh waris masing-masing untuk disemadikan. -Bernama


No comments

Powered by Blogger.