Header Ads

"Akibat Kemalangan Itu Suami Retak Tulang Kaki, Patah Tangan Kiri Dan Cedera Di Mata Serta Kepala," – Wanita Yang Tular Menjual Nasi Lemak Dengan Mengendong Anak Buntu Mencari RM5,000 Untuk Rawatan Suami..


Nasib Nur Ain Kadir, 30, yang kisah kegigihannya berniaga nasi lemak dalam but kereta sambil menjaga tiga anaknya termasuk seorang berada dalam kendongan tular di laman sosial kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Dalam keadaan bertungkus lumus mencari wang dengan berniaga nasi lemak bagi melunaskan pinjaman bank selepas bisnes barang kemasnya lingkup, dia menerima dugaan berat apabila suaminya, Mohd Faizal Tumiran, 36, kemalangan.


Mohd Faizal kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bekerja berdekatan Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) kira-kira 6.30 pagi pada 5 Ogos lalu.

Lebih menyedihkan tiga anaknya masing-masing berusia enam, tiga dan setahun juga terpaksa berlapar hampir dua hari kerana kehabisan bekalan makanan sejak 8 Ogos lalu.

Menurut Nur Ain, dia terpaksa berhenti menjual nasi lemak sejak 5 Ogos lalu kerana mahu menjaga suami untuk mendapatkan rawatan di Hospital Ampang selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada 8 Ogos lalu.


"Sejak itu saya terpaksa berhenti berniaga tujuh hari untuk menjaganya yang memerlukan perhatian sepenuhnya sebelum memulakan berniaga semula pada hari ini.

"Akibat kemalangan itu suami retak tulang kaki, patah tangan kiri dan cedera di mata serta kepala," katanya yang kini masih mencuba untuk memohon permit perniagaan berhampiran stesen minyak, di Ampang dan Hospital Ampang.

Katanya, dia kini buntu memikirkan keadaan suami yang terpaksa menjalani pembedahan memasang besi pada tangannya selain memerlukan kos RM5,000 untuk pembedahan itu.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Pendapatan jualan nasi lemak juga hanya dapat menampung perbelanjaan harian keluarga serta rawatan harian suami.


"Bingung saya memikirkan keadaan ini...saya sudah tidak kuat," katanya.

Katanya, dia berharap akan ada pihak yang dapat membantunya bagi meringankan beban ditanggungnya dengan menghubunginya menerusi talian 0142307651.

"Jiran banyak membantu termasuk memberikan keperluan makanan kepada kami sejak suami terbabit kemalangan dan ia bergantung semampu mereka.

"Kini tanggungjawab sepenuhnya perlu digalas oleh saya sehingga suami pulih sepenuhnya," katanya.

Harian Metro pada 29 Julai lalu ada melaporkan mengenai kisah kegigihan Nur Ain yang berniaga nasi lemak dalam but kereta sambil menjaga tiga anaknya termasuk seorang berada dalam kendongan tular di laman sosial sebelum ini.


Dengan hanya berniaga nasi lemak dia dapat mencari wang bagi menambah pendapatan keluarga serta melunaskan pinjaman bank.

Pinjaman bank itu dibuat untuk berniaga barang kemas dalam talian tetapi malangnya bisnes terbabit lingkup selepas semua barangan jualan dicuri ketika rumahnya dipecah masuk tidak berapa lama dahulu.

No comments

Powered by Blogger.