Header Ads

Kenali G6pd Serta 11 Makanan Dan Bahan Yang Wajib Dielakkan.Nombor 10 Tu Paling Tak Sangka Sebab Biasa Guna Untuk Mandikan Bayi..


Pasti ibu bapa menjadi gusar apabila anak mereka disahkan menghidapi penyakit ‘kekurangan G6PD’ atau G6PD deficiency. Ramai yang masih tidak pernah mendengarnya apatah lagi mengetahui pantang larang penyakit ini.

Jangan risau kerana penyakit ini sememangnya kerap berlaku dalam kalangan orang Asia dan ia merupakan penyakit genetik yang tidak berjangkit. Jom baca untuk mengetahui lebih lanjut tentang G6PD


Apa itu G6PD?

G6PD atau Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase merupakan enzim penting dalam menghasilkan sejenis protein yang melindungi sel darah merah. Kekurangan enzim G6PD adalah disebabkan oleh kecacatan DNA.

Jika seseorang mengalami kekurangan enzim G6PD, protein tersebut tidak dapat dihasilkan. Akibatnya, sel darah merah tidak mempunyai sebarang perlindungan dan mudah dirosakkan oleh bahan kimia tertentu daripada makanan, ubatan atau jangkitan kuman. Sel darah merah yang rosak akan menyebabkan kesan negatif kepada tubuh.Bahan kimia yang merosakkan sel darah merah


Tanda-tanda Terdapat Bahan Kimia yang Sedang Merosakkan Sel Darah Merah di Dalam Badan.
  • Pucat.
  • Terlampau lemah atau pengsan
  • Denyutan jantung laju
  • Sesak nafas atau pernafasan laju
  • Penyakit kuning; kulit dan mata menjadi kuning serta-merta
  • Air kencing berwarna gelap seperti teh


Tanda-tanda di atas berlaku kerana pesakit sedang mengalami anemia (kekurangan sel darah merah) akibat sel darah merah yang telah rosak. Mereka juga akan mengalami penyakit kuning atau jaundis. Menjauhkan pesakit daripada bahan kimia yang boleh merosakkan sel darah merah adalah cara terbaik untuk mengelakkan pesakit mengalami tanda-tanda di atas.

Sekiranya mereka terdedah, hindarkan mereka daripada bahan tersebut serta merta dan mereka akan sihat sepenuhnya selepas beberapa hari atau minggu. Namun jika keadaan mereka kritikal (seperti sesak nafas atau pengsan) bawa mereka ke klinik atau hospital.

Apakah Bahan yang Boleh Merosakkan Sel Darah Merah?

Senarai di bawah adalah bahan yang mengandungi kimia yang boleh merosakkan sel darah merah. Ia boleh meresap melalui kulit dan menyebabkan pesakit mengalami anemia dan penyakit kuning jika terdedah secara berlebihan.

Ibu yang sedang menyusukan juga dinasihatkan untuk menjauhi bahan-bahan ini. Bahan kimia yang terdapat di dalamnya boleh berpindah ke susu badan dan diminum oleh bayi. Bukan sahaja melalui susu badan, bahan kimia ini juga boleh menyerap ke dalam kulit bayi jika badan ibu atau penjaga terdedah dengan bahan berikut.


Makanan

1. Kacang Parang (Fava Beans) dan sebarang kekacang lain.

Kacang parang adalah ‘a big NO NO’ untuk pesakit kekurangan G6PD. Mereka akan mendapat anemia hanya dengan memakan dalam jumlah yang sedikit atau hanya dengan menyentuhnya. Ada juga yang sensitif pada kacang yang lain seperti kacang soya dan kacang tanah tetapi bukan semua pesakit. Namun anda dinasihatkan untuk menjauhkan anak anda daripada sebarang produk kekacang 
terutamanya kacang parang.Kacang parang atau fava beans


2. Produk bebas gluten (contoh: tepung)

Produk ini biasanya akan mengandungi campuran kekacang yang kemungkinan berbahaya kepada pesakit kekurangan G6PD.

3. Makanan proses yang mengandungi Sulfites

Baca label makanan proses sebelum memberi anak anda makan. Pastikan ia tidak mengandungi sulfite yang boleh merosakkan sel darah merah. Namun begitu, tidak semua pesakit sensitif terhadap sulfite.


4. Menthol

Contoh makanan atau bahan yang mengandungi menthol adalah gula-gula pedas, cecair pembersih mulut dan ubat gigi. Pastikan anda membaca label. Namun tidak semua pesakit adalah sensitif.

Gula-gula pedas mengandungi menthol

5. Asid Askorbik

Asid Askorbik adalah vitamin C yang kebiasaannya ditambah dalam makanan (seperti minuman jus kotak) atau suplemen. Asid Askorbik yang diambil melebihi dos yang selamat boleh merosakkan sel darah merah pesakit kekurangan G6PD. Anak anda boleh terlebih dos tanpa anda sedari jika mereka banyak memakan makanan dan suplemen yang mengandungi asid askorbik.

Buah-buahan yang tinggi dengan vitamin C seperti oren, jambu batu dan nenas juga perlu diambil berpada-pada. Pastikan anak anda tidak melebihi dos dalam satu hari. Namun begitu, kanak-kanak masih memerlukan vitamin C untuk membesar. Dua biji buah tinggi vitamin C setiap hari sudah memadai.


Dos maksimum Vitamin C/Asid Askorbik yang selamat adalah seperti berikut,
  • 1-3 tahun: 400 mg/sehari
  • 4-8 tahun: 650 mg/sehari
  • 9-13 tahun: 1200 mg/sehari
  • 14-18 tahun: 1800 mg/sehari
  • Dewasa: 2000 mg/sehari

(Sumber: RNI Malaysia, 2005)

Dalam pada itu, vitamin E pula dilaporkan dapat memberi sedikit perlindungan kepada sel darah merah daripada rosak. Dapatkan nasihat doktor jika anda merancang untuk memberi suplemen vitamin E kepada anak anda.

Ubatan dan Bahan Lain-Lain

6. Herba

Segelintir herba cina boleh merosakkan sel darah merah. Antaranya ialah Chuen Lin, San Chi, Huang Lien, Neu Huang, Leh Mei Hua, Kam Ngan Fa. Berhati-hati semasa memakan masakan Cina yang mungkin mengandungi herba-herba tersebut.

7. Ubat-ubatan hospital

Anda wajib maklumkan doktor atau farmasi bahawa anak anda mempunyai kekurangan G6PD setiap kali ke klinik atau hospital untuk rawatan. Ini bagi mengelakkan anak anda diberi ubat yang mengandungi bahan berbahaya untuk pesakit kekurangan G6PD

Antara ubat yang berbahaya adalah Acetanilide, Doxorubicin, Furazolidone, Methylene Blue, Nalidixic Acid, Niridazole, Nitrofurantoin, Phenozopyridine, Primaquine, Sulfamethoxazole, Bactrim dan banyak lagi.


8.Ubat gegat (naphthalene/moth balls)

Sebarang bahan yang mengandungi naphthalene harus dijauhkan daripada pesakit mahupun ibu 
pesakit.
Ubat gegat atau moth balls

9. Ubat lingkaran nyamuk dan ubat semburan serangga

Bahan ini mengandungi pyrethium yang berbahaya kepada pesakit kekurangan G6PD

10. Henna/Inai

Daun inai mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan sel darah merah rosak jika terkena pada kulit. Ia adalah berbahaya terutamanya kulit bayi dan kanak-kanak kerana kulit mereka masih nipis dan bahan kimia mudah terserap ke dalam saluran darah.

11. Pewarna tiruan biru (mythelene blue dan toluidine blue)

Pewarna kimia berwarna biru boleh merosakkan sel darah merah. Namun pewarna semulajadi adalah tidak berbahaya. Pastikan makanan yang ingin diberikan kepada anak anda tidak mengandungi pewarna tiruan biru.


Pewarna baju berwarna biru (contoh: nila) juga dikhuatiri mengandungi bahan pewarna yang berbahaya. Oleh itu, pastikan bayi anda tidak terdedah dengan cecair nila. Baju yang di nila juga boleh memberi kesan kepada pesakit. Tapi tidak semua pesakit akan mengalami kesan serius.

Kesimpulan

Tahap kekurangan enzim G6PD dan tahap ketahanan tubuh seseorang adalah berbezaantara satu sama lain. Ada yang sangat sensitif, ada yang tidak berapa sensitif. Ada yang sensitif dengan ubat lingkaran nyamuk, ada yang tidak. Begitu juga dengan bahan-bahan lain.


Apa-apa pun, Ibu bapa perlu waspada terhadap anak setiap masa dan mengambil perhatian apakah bahan yang boleh menyebabkan anak mereka sakit. Ia merupakan penyakit sepanjang hayat yang tidak ada penawar. Sediakan catatan senarai bahan yang anak anda sensitif dan maklumkan kepada saudara-mara, pihak sekolah, jiran tetangga dan kawan-kawan anak.
Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat

Anak anda juga perlu diajar untuk mengelakkan bahan-bahan yang berbahaya kepadanya. Ingatkan mereka untuk sentiasa memaklumkan kepada anda apabila mereka ingin memakan atau menggunakan sesuatu makanan atau bahan.


Pesakit G6PD adalah penyakit genetik yang tidak berjangkit. Mereka boleh menjalankan kehidupan normal seperti biasa selagi mereka mengelakkan bahan yang boleh menyebabkan mereka sakit. Untuk maklumat lebih lanjut, berjumpalah dengan dietitian/pakar pemakanan dan doktor anda.


No comments

Powered by Blogger.