Header Ads

Berniat Ziarah Kubur Pada Hari Raya, Ketahui Hukumnya Mengikut Pandangan Mufti Perlis Ini..



Menjadi suatu kelaziman dan bagaikan satu budaya bagi kebanyakan daripada kita untuk menziarahi kubur sanak saudara dan keluarga pada Hari Raya, terutamanya selepas Solat Sunat Aidilfitri.

Namun, terdapat pelbagai khilaf dan perbezaan pendapat para ulama mengenai hukum menziarahi kubur khususnya pada Hari Raya ini.


Ada yang mengatakannya hukumnya Makruh dan dianggap bidaah kerana tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya.

Ada juga yang berpendapat hukumnya adalah harus dan dibolehkan.Ini kerana tidak ada perintah dan larangan secara khusus di samping mengambil pendapat umum berkenaan dengan perintah ziarah kubur.

Namun demikian, berikut merupakan perkongsian pendapat oleh Mufti Perlis Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai perkara ini;

Menziarahi kubur itu pada asalnya disunatkan pada bila-bila masa bagi mengingatkan kita pada hari akhirat.


Sabda Nabi S.A.W:

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا

“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang”
(Riwayat Muslim)

Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang kerana bimbang kesan jahiliah dahulu masih mempengaruhi masyarakat. Apabila kefahaman Islam sudah kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat.

Ertinya, jika sesiapa yang apabila ke kubur akan terpengaruh dengan amalan khurafat, maka mereka ia sepatutnya mengelakkan diri dari menziarahi kubur. Jika ia menyebabkan mengingatkan hari akhirat, maka ia digalakkan.

Walaupun menziarahi kubur itu pada asalnya sunat, namun baginda Nabi s.a.w tidak pernah mengkhususkan supaya diziarahi khubur pada hari raya. Perbuatan mengkhususkan hari raya sebagai hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w.


Apatahlagi dengan pelbagai upacara yang menyanggahi sunnah Nabi s.a.w yang diadakan oleh sesetengah masyarakat di kubur pada hari raya. Bahkan, jika kita melihat kepada konsep hari raya yang diterangkan, maka perbuatan bersedihan di kubur adalah menyanggahi tujuan hari raya.

Sumber: Blog Minda Tajdid (Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin)

No comments

Powered by Blogger.