Header Ads

(5 VIDEO) Tahukah Anda Sebenarnya Tangisan Bayi Ada 5 Jenis Sebagai Komunikasi Mereka Tentang Keadaan Dirinya.Jom Kita Lihat..


Sebenarnya, setiap tangisan bayi mempunyai makna di mana tangisan yang dihasilkan sekiranya diteliti dan didengari dengan betul, ia berbeza-beza.

Menurut Perunding Dunstan Baby Language Malaysia, Uswatun Hasanah Mohd. Habib, tangisan bayi yang berusia 0 hingga 5 bulan merupakan cara mereka komunikasi.


Tambahnya lagi, apabila bayi menangis itu tandanya mereka berkomunikasi untuk diberikan perhatian malah ketika itu jugalah mereka menyatakan sama ada mereka lapar, mengantuk, sakit, ataupun kebasahan.

"Selama ini ibu bapa mungkin tidak mengetahui tangisan adalah komunikasi antara seorang bayi dengan ibu bapa mereka.

"Melalui tangisanlah mereka menyatakan mereka lapar, mengantuk, sakit, ataupun kebasahan dan tidak ketinggalan melalui tangisan juga mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa.

"Dan sekiranya diperhati dan didengar dengan betul, setiap tangisan yang dihasilkan adalah berbeza-beza. Setiap tangisan itu mampu membuatkan ibu bapa tahu apa kehendak bayi mereka," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.


Jelas Uswatun lagi, bagi ibu bapa yang berpengalaman, tangisan bayi mungkin tidak mendatangkan sebarang masalah kerana mereka sudah mengetahui apa kehendak bayi mereka.

Yang menjadi masalahnya ialah kepada pasangan yang baru pertama kali menjadi ibu bapa. pastinya mendengar tangisan bayi menjadi satu tekanan kerana mereka tidak tahu apa yang dikehendaki bayi mereka.

Untuk itu, adalah penting bagi setiap ibu bapa mengetahui jenis tangisan bayi mereka agar tahu apa kehendak bayi mereka dan tidak membiarkan tangisan tersebut berlanjutan.

Katanya lagi, tangisan merupakan bunyi pra vokal yang dihasilkan sebelum mereka beralih ke fasa berikutnya seperti meniarap, bercakap, dan berjalan.

"Setiap tangisan bayi adalah berbeza dan ia bersifat universal yang terhasil akibat tindak balas dari dalam badan.

"Apabila bayi merasa lapar, paras glukosa dalam badannya menurun dan sistem dalaman bayi melakukan gerakan menyedut (sucking) sebagai tanda bersedia menerima makanan. seterusnya apabila bunyi ditambah kepada tindakan balas (sucking reflex), terhasillah bunyi lapar," tuturnya lagi.

Terdapat lima bunyi rutin tangisan bayi dalam menyatakan keperluan harian mereka seperti lapar (neh), mengantuk (owh), sendawa (eh), ketidakselesaan (heh), dan masalah kembung perut (eairh).


VIDEO 1: (Owh) Mengantuk.

Terhasil dari reflek menguap. Bila bayi menangis sambil ingin menguap, 'owh' akan dibunyikan. Mulut bayi juga akan membujur (oval).


VIDEO 2: (Eh) Sendawa.


Terhasil bila bayi ingin bersuara/menangis dan dalam masa yang sama abdomennya ashik mengalami kontraksi dalam usaha menolak angin di dalam dada untuk keluar. Maka terhasillah bunyi tersekat-sekat ibarat enjin kereta semput.


VIDEO 3: (Heh) Ketidakselasaan.


Dengarkan bunyi hembusan 'H' (breathy H) yang terhasil bila kulit bayi mengesan ketidakselesaan seperti panas, sejuk, lampin kotor , baju keras dan 101 hal lain. Termasuk ketidakselesaan emosi seperti rimas dan panik.


VIDEO 4: (Neh) Lapar.


Terhasil dari reflek menyedut dalam perutnya. Ia akan mencetus lidah bayi untuk bergerak ke kiri dan kanak, bawah dan atas hingga menolak lelangitnya dalam usaha menghisap sesuatu lalu mencetus bunyi kuat 'N' diawal tangisan.


VIDEO 5: (Eairh) Masalah Kembung Perut.

Bunyi paling jarang disebut (ini fakta!) terutama bila mak rajin menyendawakan bayi. Dengarkan bunyi keras dan 'urgent' 'R'. Bayi meneran tangisan, menggerekotkan badan dan sukar bertenang.


Bagi memahami dan mempelajari jenis-jenis tangisan bayi ini, ibu bapa boleh belajarnya melalui Dunstan Baby Language.

Ulas Uswatun, Dunstan Baby Language adalah sistem pertama di dunia mengajar ibu bapa mengenali makna tangisan bayi secara tepat.

Kajian penyelidikan lebih 10 tahun oleh pasukan berpangkalan di Sydney, Australia itu disokong menerusi kaji selidik, Independence Research Studies yang dijalankan pada 2006 dan 2007 di Australia, Amerika Syarikat, dan United Kingdom.


Kajian berkenaan membabitkan 1,000 bayi daripada 30 jenis kerakyatan, latar belakang, etnik, dan bahasa dan ia pertama kali diperkenalkan menerusi rancangan popular, The Oprah Winfrey Show.

Hasil kajian menunjukkan kesan positif terhadap kualiti ilmu keibubapaan dengan 90 peratus ibu bersetuju Dunstan Baby Language membantu mereka menangani masalah tangisan anak segera dan mengelakkan masalah bayi digoncang.

Manakala, dua daripada tiga bapa melaporkan menjalani kehidupan positif, kurang tertekan, dan mula tahu cara mengendalikan bayi bersama pasangan selepas mengamalkan produk berkenaan.


Lebih daripada 70 peratus ibu bapa turut mendapati diri mereka berkeyakinan, tenang, dan terkawal menjalani kehidupan harian.

Selain itu, 50 peratus ibu merasakan hubungan ibu dan anak berlangsung lebih hebat serta kualiti tidur terkawal.

Sumber:  Utusan Malaysia. & FB Baby Language

-Pen Merah Press


No comments

Powered by Blogger.