Header Ads

Masalah Uri Di Bawah Semasa Mengandung. Ini Adalah Punca, Komplikasi dan Perkara Yang Anda Harus Dilakukan..


PLACENTA PRAEVIA
“Saya sedang mengandung anak kedua. Kandungan saya baru berusia 29 minggu. Pagi ini, saya mengalami pendarahan tapi tidak berasa sakit. Setelah menjalani pemeriksaan, doktor mendapati uri saya terletak di bahagian bawah. Saya ditahan di hospital. Dan mengikut perancangan, saya akan tinggal di hospital untuk tempoh hampir sebulan. Atau jika uri masih rendah, saya akan ditahan sehingga tarikh kelahiran bayi.”
Uri (placenta) adalah organ di dalam rahim yang membekalkan nutrient dan oksigen kepada bayi. Ia juga menjadi organ yang menyingkirkan sisa buangan bayi. Uri kaya dengan salur darah dan melekat di dinding rahim melalui rangkaian salur darah.
Dalam keadaan normal, kedudukan uri akan berubah mengikut pertumbuhan saiz rahim. Pada penghujung trimester kedua, uri sepatutnya berada pada atau berhampiran bahagian atas rahim.
Namun, dalam beberapa keadaan, uri kekal di bahagian bawah rahim. Inilah yang dinamakan Placenta previa (PP).
Placenta previa merupakan suatu komplikasi kehamilan. Tahapnya berbeza mengikut kedudukan placenta berbanding pintu rahim. Ia dibahagikan kepada :
i) Marginal – Type 1 & Type 2 (menghampiri atau tidak menutupi pintu rahim).
ii) Complex – Type 3 & 4 (menutupi pintu rahim).

Punca terjadinya Placenta previa

Tiada punca yang nyata kenapa terjadinya PP. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang akan menyebabkan placenta melekat di bahagian bawah rahim :
1) Saiz uri yang besar – ini biasa berlaku dalam kehamilan kembar.
2) Kelewatan proses pelekatan telur yang telah disenyawakan – Proses persenyawaan sperma dan telur akan berlaku di tiub fallopio. Telur yang telah disenyawakan ini kebiasaannya akan menempel di dinding bahagian atas rahim.
Kelewatan dalam proses penempelan akan menyebabkan telur yang telah disenyawakan ini bergerak ke bahagian bawah rahim dan menempel di situ.
Seterusnya ia akan berkembang mengikut proses kehamilan dan uri akan terbentuk di bahagian bawah rahim.
3) Terdapat parut pada dinding bawah rahim – Ini boleh berlaku jika terdapat sejarah pembedahan Caesarean atau D&C untuk keguguran.
Kita boleh membayangkannya sebegini : Andaikan kita ada sebiji bola golf (perbandingan untuk telur yang telah disenyawakan).
Leretkan bola itu di atas rumput dan di atas lantai. Kita akan dapati, jika di atas rumput (perbandingan untuk dinding rahim yang berparut), bola akan bergerak perlahan, dan seterusnya berhenti.
4) Merokok – Ia akan meningkatkan risiko mendapat placenta previa.

Komplikasi

1) Komplikasi utama ialah PENDARAHAN kerana placenta terdiri daripada banyak rangkaian salur darah. Pendarahan yang banyak dan berterusan akan menjejaskan nyawa ibu dan bayi.
2) Risiko kelahiran pramatang:
Sekiranya pendarahan berterusan berlaku, ibu dan bayi akan dipantau rapi sehinggalah bayi mencapai tahap kematangan maksima.
Ini mungkin dicapai sewaktu bayi hanya berusia kurang 37 minggu (pramatang).
Bayi pramatang mempunyai pelbagai komplikasi lain seperti risiko jangkitan kuman, pendarahan otak dan sistem organ penting yang belum matang.
3) Placenta accreta :
Ini adalah keadaan uri yang melekat terlalu kuat dengan rahim hingga sukar untuk dikeluarkan.
Ia boleh mengundang kepada pendarahan yang lebih teruk.
Komplikasi lain yang mungkin berlaku ialah kesan psikologi kepada ibu, tempoh kemasukan wad yang lama, anemia dan kedudukan bayi yang tidak normal.

Apa yang perlu dilakukan jika anda didiagnos mempunyai placenta previa?

1) Dapatkan rawatan di hospital/fasiliti kesihatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perbidanan dan sakit puan.
Ikut segala saranan dan proses rawatan yang ditetapkan. Bincang segala permasalahan dengan doktor tersebut.
2) Banyakkan berehat. ELAKKAN melakukan kerja-kerja berat, perjalanan jarak jauh dan hubungan seksual.
3) Persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi kemungkinan menjalani pembedahan Caesarean.

Mitos berkaitan placenta previa:

1) Terdapat urutan yang boleh menaikkan uri ke bahagian atas rahim.
JANGAN SEKALI-KALI MELAKUKAN URUTAN UNTUK MENAIKKAN URI ! Ini boleh menyebabkan Abruptio placenta iaitu uri lekang / terpisah daripada rahim.
Pendarahan yang teruk akan berlaku. Pada tahap pendarahan yang lebih teruk, rahim terpaksa dibuang atau nyawa ibu dan bayi dalam bahaya!
Dalam beberapa keadaan, ada wanita mengatakan setelah menjalani urutan, doktor mendapati uri mereka telah naik.
Ini semua sebenarnya bergantung kepada jenis PP yang dinyatakan di atas (marginal / complex).
Jika marginal, ia mempunyai peluang untuk naik ke atas mengikut pembesaran rahim walau TANPA urutan.
Sebab itu, scan akan dilakukan setiap 2 minggu untuk menentukan kedudukan uri.
2) Mengapa perlu tinggal lama di dalam hospital?
Kalau nak tumpah darah, di mana-mana pon boleh berlaku.
Benar, pendarahan boleh juga berlaku walaupun di dalam hospital. Tetapi risikonya lebih rendah kerana wanita tersebut disyaratkan untuk menjalani “bed rest”.
Berbanding jika di rumah, sudah pasti wanita itu akan sibuk dengan kerja2 rumah tangga dan sebagainya.
Selain itu, jika pendarahan berlaku di hospital, pemantauan rapi dapat dijalankan. Rawatan kecemasan juga dapat diberikan dengan serta-merta. Ini dapat mengurangkan komplikasi terhadap ibu dan bayi.
3) Semua pendarahan semasa kehamilan disebabkan placenta previa
Terdapat pelbagai punca pendarahan semasa kehamilan contohnya luka pada faraj, jangkitan kuman, ketumbuhan dan trauma pada uri (contohnya dalam kemalangan kenderaan atau kes-kes keganasan rumah tangga).
4) Semua kes placenta previa akan menjalani pembedahan.
Bagi kes-kes placenta previa minor (Type 1 anterior), pesakit mungkin dibenarkan untuk melahirkan secara normal jika tiada masalah lain seperti keadaan ibu dan bayi stabil dan tiada pendarahan yang banyak.
Rujukan anda:
http://www.babycenter.com/0_placenta-previa_830.bc
http://www.medicinenet.com/pregnancy_placenta_previa/article.htm
Kredit: rootofscience.com

1 comment

jamaliah shaari said...

minggu lepas doktor cakap uri saya ke bawah sikit.insyaallah bulan depan akan pegi cek lg.harapnya okla

Powered by Blogger.